skip to Main Content
Tips Mendidik Anak Supaya Cintakan Al Quran

Al-Quran ialah kitab suci yang diturunkan sebagai panduan kehidupan setiap orang Islam dan ia sentiasa relevan sepanjang zaman. Rasanya dalam setiap rumah orang mukmin pasti akan ada al-Quran.

Namun, berapa ramai yang benar-benar membaca dan mengamalkan ajarannya secara konsisten? Bimbang al-Quran hanya dibiarkan tersadai di atas rak tanpa dibaca.

Jadi, bagaimana kita mahu anak-anak juga mencintai al-Quran kalau diri sendiri tidak menunjukkan contoh terbaik. Lakukan tip berikut untuk mendidik anak-anak mencintai al-Quran.

Baca Juga:  Kelebihan Menghafal Al Quran

1. Ibu dan ayah mesti rajin mengaji

Mula-mula sekali, ibu dan ayah mestilah rajin mengaji al-Quran secara konsisten. Jika biasa dilakukan selepas solat maghrib, maka buatlah secara konsisten.

Anak akan melihat amalan tersebut dan dia juga akan turut mengikut mengamalkannya.

2. Dedahkan anak melihat video surah-surah al-Quran

Daripada anda membiarkan anak leka melihat video kartun atau hiburan yang tidak berfaedah, lebih baik gunakan kelebihan gajet yang dimiliki dengan membenarkan anak melihat video bacaan surah-surah al-Quran daripada qari/qariah kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya akan timbul rasa minat dalam diri anak untuk mencontohi mereka.

3. Perdengarkan bacaan ayat al-Quran

Sentiasa membacakan surah-surah ayat lazim seperti Al-Fatihah, An-Naas, Al-Falaq dan Al-Ikhlas pada bila-bila masa sahaja kepada anak terutama semasa dia sedang bermain, makan dan berehat.

Apabila sentiasa diperdengarkan bacaan surah-surah tersebut, lama-kelamaan anak akan menghafalnya dan turut sama membacanya kelak.

4. Ceritakan kisah-kisah dari al-Quran

Ada bermacam cerita kisah-kisah tauladan dan pengajaran yang ada dalam al-Quran. Anda boleh beli pelbagai jenis buku cerita kisah dari al-Quran khusus untuk kanak-kanak yang ada banyak di pasaran.

Percayalah yang anak-anak anda akan lebih mencintai al-Quran apabila mereka tahu makna dan kisah dalam kitab suci tersebut itu sendiri.

5. Belikan al-Quran khas untuknya

Sebagai motivasi, tak salah untuk membelikah al-Quran khas untuk anak anda. Biar ia menjadi semangat kepadanya untuk rajin membaca al-Quran.

6. Ajar baca surah sebelum tidur

Sebelum tidur ajar anak-anak untuk membaca surah-surah ayat lazim. Beritahu mereka, ia adalah sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah saw dan sebagai pendinding diri daripada gangguan syaitan.

7. Al-Quran menjadi teman dalam kubur

Beritahu anak, jika kita rajin membaca al-Quran setiap hari maka apabila kita meninggal dunia dan ditanam di dalam kubur nanti, al-Quran akan menjadi teman dan tidak meninggalkan kita keseorangan dalam keadaan apa sekali pun.

8. Al-Quran mukjizat terbesar

Jangan lupa memberitahu kepada anak tentang kehebatan al-Quran. Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah SWT tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada al-Quran”.

Mendidik anak dekat dan cinta kepada al-Quran bukan mustahil tetapi tidak semudah yang kita sangkakan. Kesabaran, ketekunan dan perancangan sangat diperlukan untuk mencapai misi mulia ini. Sama-sama kita lakukan.

Kredit & Sumber Rujukan : www.majalahpama.my

Suka Artikel Ini?

Semoga semua yang membaca dapat manfaatnya!

P.s. – Kalau anda suka artikel ini, janganlah segan silu untuk klik butang Share. Lagi ramai Share, insyaAllah lagi bersemangat kami nak kongsi lebih banyak artikel & tips dengan anda!

Back To Top